Baru dua hari lepas sudah bagi RM10. Duit belanja Kak Umi. Duit kocek saja. Bayaran lain, tidak termasuk. Dalam jumlah itu. Ada duit lain. Hari ini Kak Umi telefon lagi, ibu yang jawab. Panggilan telefon Kak Umi. Ayah dengar apa yang ibu cakap dalam telefon. Suara Kak Umi ayah tidak dengar. Ayah dapat mengagak apa yang diperkatakan.
"Kuat juga Kak Umi berbelanja… dua hari dah habis" keluh ayah kepada ibu apabila ibu memberitahu Kak Umi sudah tiada duit belanja.
Ayah merungut kerana ayah tidak mahu mewahkan sangat anaknya dalam berbelanja. Nilai berjimat sudah ditanam lama dalam jiwa anak-anak. Tambahan pula, ayah kurang duit. Banyak lagi bayaran lain yang juga penting dan perlu dijelaskan.
Setelah berfikir sejenak ayah teringat Pak Roni. Jaga di SMKP, tempat Kak Umi belajar. Ayah ambil keputusan untuk kirimkan saja duit yang diperlukan melalui Pak Roni. Jadi ayah tidak perlu pergi, sebab ayah ada urusan pada 6hb. Esok.
Pagi, ayah kena hadir pelancaran "Pencarian Awang Sulung" di Chalok Barat. MB yang turun. Petang ayah mengajar kelas Yayasan. Tentu kelewatan untuk ke sekolah Kak Umi kerana kelas Yayasan habis pukul 4.30pm.
Ayah dapatkan kertas dalam buku catatannya dan menulis nota untuk Kak Umi. Ayah mula menulis. Cepat-cepat.
Assalamualaikum Kak Umi.
Ayah harap kak umi sihat. Ini ayah dapat kirim sedikit duit belanja Kak Umi. Harap akak dapat berjimat.
Akak kena makan makanan di asrama. Pagi sebelum ke sekolah, mesti sarapan di asrama. Barulah duit dapat jimat. Ayah pun tak ada duit. Jangan boros sangat berbelanja.
Cuba akak bayangkan di rumah ini. Abang Zil belanja RM1 sahaja sehari. Adik Umaira tak belanja. Ayah sendiri RM10 sahaja seminggu. Tak kan lah akak RM10 tak cukup. Akak tahu tak, ayah makan lebihan makanan RMT di sekolah ayah. Walaupun tak sedap… sebab ayah berjimat.
Kalau akak sayangkan ayah, sayang ibu dan adik-adik… akak kenalah bersabar. Jimat berbelanja. Jangan ikut orang.
Ayah doakan agar akak sihat. Akak belajar sedaya upaya termampu. Dan dapat keputusan cemerlang. Ayah sayang akak.
Ayah melipat nota ringkas itu dan memasukkannya ke dalam sampul surat bersama-sama dengan duit RM3 sahaja. Ayah termenung seketika sebelum mencapai telefon untuk menghubungi Pak Roni.
+ Hello… Assalamualaikum.
- Alaikum salam… siapa ni.
+ Ustaz Yasin.
- Ya! siapa?
+ Ustaz!… Ustaz Yasin, cabang Kasar.
- Ooo… hah apa hal? Saya baru balik ni. Kat rumah ni.
+ Gini… saya nak kirim surat…
- Untuk cikgu ke?
+ Eh tak… untuk anak saya… asrama.
- Ooo… boleh. Bila kita nak jumpa?
+ Lepas Isyak nanti boleh?
- Boleh… mana?
+ Kedai Tayek deh… lepas Isyak.
Malam itu, ayah tidak ke surau sebagaimana kebiasaannya. Ayah solat Isyak di rumah. Selesai solat Isyak, segera ayah mendapatkan lampu picit untuk ke Kedai Tayek.
***
8 Feb - Kak Umi balik minggu ini. Minggu depan mungkin balik lagi sebab cuti Tahun Baru Cina.
"Kak.. tenguk anak Pok Roni. Akak kenal tak? Nama dia Normadiah… tingkatan 4. Dia dapat 8A1B" ayah bersuara di sebelah malamnya.
"Em…" Kak Umi mengerutkan keningnya.
"Akak tau tak.. dia belanja RM5 sahaja seminggu semenjak tingkatan 1 hinggalah sekarang. Ayah dia jaga. Tapi dapat keputusan cemerlang" sambung ayah lagi.
Kak Umi diam. Otaknya berfikir. Tentang kata-kata ayah sebentar tadi.
"Ayah nak, akak pun macam dia. Kita orang susah"
Dalam makna kata-kata ayah. Kak Umi membiarkan kata-kata ayah bertapak di benaknya.