Beli Buku Log
Apa yang kita panggil Sang Mentari itu masih malu-malu menzahirkan dirinya di celah awan. Tandanya tengkujuh belum mahu bertolak. Belum berakhir. Ayah dan abang memacu motor jerangkung ke masjid untuk menyahut panggilan Pencipta menunaikan solat jumaat. Solat mingguan yang wajib ditunaikan oleh setiap insan lelaki mukallaf.
Selepas selesai berjumaat, ayah terus ke kedai Usop bersebelahan tapak pasar sehari di Kampung Langkap. Berdekatan dengan SK Langkap, tempat abang menimba ilmu peringkat awal.
"Buku log ada"
"Tu…"
"Berapa harganya"
"Tenguk di dalam. Harga ada di dalam" jawab anak lelaki Usop yang menjaga kedai.
Ayah mahu segera beli. Mahu segera balik ke rumah. Takut nanti hujan turun lagi.
Buku log yang dimaksudkan ialah buku kulit keras, bersaiz kertas A4. Ayah pilih yang nipis sahaja. 120 mukasurat. Harga RM3. Cukup lah, fikir ayah.
Bila kak Umi naik sekolah menengah, nak kena tulis di buku log pula. Memang begitu kah? Kalau sekolah menengah?
Ya, ya… Masa ayah bersekolah dulu. Ayah juga pernah diarahkan membuat nota Geografi dalam buku log ini. Nota Sains Paduan pun tulis dalam buku log juga.
Faktor bukaan mukasuratnya yang luas agaknya main peranan yang menyebabkan cikgu suruh guna buku log bila catat nota. Banyak dapat tulis berbanding buku tulis biasa. Kalau lukis rajah pun lebih mudah. Terutamanya rajah berskala besar.
Ayah tulis SMS pada kak Umi…
"RM3 = 1. Kat sekolah akak berapa?" SMS ayah.
"RM2.40" SMS balasan dari kak Umi. Di rumah.
"Ayah beli 1 dulu. Kalau nak lagi, akak beli di sekolah akak la" SMS balasan ayah.
Harga buku log di kedai berbeza dengan yang dijual di kedai koperasi sekolah. Mujur lebih rendah.
